Was-was....bagi abah, was-was ni adalah satu penyakit. Semua orang pernah mengalaminya termasuklah abah. Acapkali jugak la..bukan setakat amik air semayang, tapi mase tengah drive utk pi keje punpun tiba-tiba was-was datang. Terpikir sama ada iron kat umah dah tutup suis ke blum..terpaksa la patah balik umah. Sampai umah, bukan saje iron tu dah tutup suis tapi dah cabut pun plugnye...alahai, letih pun dapat.
Walau bagaimana pun, Abah just nak share petikan daripada Utusan Malaysia berkenaan was-was...Pasni dah tak nak was-was dah....
SOALAN:
1) Saya mengalami masalah was-was yang teruk. Ia selalu berlaku jika saya hendak berwuduk dan solat.
Ketika berwuduk, saya selalu was-was ketika hendak membasuh muka. Ketika saya menadah air, saya merasakan bahawa air dari muka saya menitik masuk ke dalam tangan.
Saya terpaksa buang air tersebut dan menadah air baru sehingga beberapa kali sampai saya yakin. Hal ini membuatkan saya selalu mengambil masa yang lama untuk berwuduk iaitu kira-kira 10 minit.
Demikian juga semasa hendak solat. Ia berlaku semasa hendak berniat menyebabkan saya terpaksa menyebut niat dengan mulut dan bukannya dalam hati. Sudah bermacam-macam cara saya lakukan termasuk membaca isti'azah, surah an-nas namun tetap was-was. Bagaimana mengatasi masalah ini?
JAWAPAN:
Ustaz turut bersimpati dengan masalah was-was adik. Kedengaran ia sangat memeritkan hidup adik selama ini. Masalah ini bukan dihadapi oleh adik seorang.
Terdapat ramai lagi yang menghadapi masalah ini. Bahkan daripada kalangan bukan Islam dan pada perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan agama.
Ia kadang-kala dikaitkan dengan masalah psikologi yang dinamakan obsessive-compulsive disorder (OCD).
Menurut perspektif Islam, memanglah situasi yang adik gambarkan dinamakan was-was (dalam bahasa Arab - waswasah pl. wasaawis) iaitu bisikan yang tidak diundang dalam jiwa dan pemikiran oleh syaitan.
Al-Quran telah menerangkan kepada kita yang ia telah bermula dari hari-hari pertama Adam hidup di syurga lagi - firman Allah, surah al-A'raaf, ayat 20: Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua (agar) mendedahkan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: "Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam syurga).
Begitu juga dalam surah Taha, ayat 120: Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya dengan berkata: "Wahai Adam, mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang membolehkan kau hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?
Allah mengajar kita manusia agar memohon perlindungan-Nya agar terpelihara daripada mudarat teknik hasutan bisikan syaitan ini dalam surah al-A'raaf, ayat 200: Dan jika Engkau dihasut oleh sesuatu hasutan syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Di penghujung al-Quran dalam surah al-Naas, kita diajar dengan lebih terperinci bagaimana melindungi diri daripada was-was dengan membacanya dengan penuh penghayatan terhadap maksud setiap ayat dalam surah yang pendek tetapi besar fungsinya kepada kita dalam memerangi was-was secara kognitif:
(1) Katakanlah (Wahai Muhammad): "Aku berlindung kepada (Allah) Tuan Empunya sekalian manusia."
(2) "Raja segala raja yang Menguasai sekalian manusia".
(3) "Tuhan yang berhak disembah oleh sekelian manusia
(4) "Dari kejahatan pembisik hasutan yang tenggelam timbul".
(5) "Yang menyuntik bisikan hasutannya ke dalam hati manusia".
(6) (Iaitu pembisik hasutan) dari kalangan jin dan manusia". (an-Naas: 1-6)
Alhamdulillah, adik telah berjaya mengesan masalah adik dan telah cuba berusaha dengan inisiatif sendiri mengatasinya. Kemudian diteruskan melalui bantuan kawan-kawan.
Malahan adik masih berinisiatif untuk mencari jalan keluar masalah adik dengan bertanya kepada ustaz. Itu tandanya Allah masih sayangkan adik sebab itu Dia tetap Memberi Hidayah-Nya kepada adik.
Surah al-Naas
Sekarang ustaz nak adik cuba kawal tumpuan aliran pemikiran adik. Cuba sedikit demi sedikit secara berperingkat. Kemudian, adik cuba semula cara kawan adik dengan membaca surah al-Naas dan isti'azah tetapi dengan menghayati, menyebatikan dan menjadikan maksudnya berpasak sekukuh-kukuhnya di minda adik.
Bacalah bersama surah al-Falaq dan surah al-Ikhlas sebanyak tiga kali selepas setiap solat. Adik mesti yakin Allah SWT sedang memerhati adik dan Maha Mendengar keluhan penderitaan adik yang memohon-Nya melindungi adik daripada gangguan was-was tersebut.
Daripada luahan hati adik mengenai masalah ini, ustaz juga dapati adik sentiasa sedar apabila ia berlaku dan hati adik tidak suka masalah ini berterusan seakan di bawah kawalan sesuatu, betul tak?
Oleh itu, ustaz mahu adik sentiasa memantau aktiviti dalaman minda dan jiwa adik terutamanya apabila bisikan-bisikan yang membawa kepada was-was muncul. Apabila ia datang, cuba labelkan bahawa ia bukan daripada diri adik tetapi bisikan syaitan dan syaitan itu musuh manusia yang nyata.
Oleh kerana ia musuh adik, pastinya ia bertujuan memusnahkan adik. Oleh itu, adik mesti mengawal diri dan minda adik agar tidak dapat ditakluk oleh kuasa syaitan dengan memohon perlindungan Allah SWT daripada mudarat yang mungkin diakibatkan oleh syaitan - itu pun dengan izin Allah.
Kemudian, cuba ubah aliran tumpuan fikiran adik daripada menyedari kemunculan bisikan-bisikan ini kepada memberi sepenuh tumpuan kepada wuduk atau solat adik. Cuba jangan pedulikan bisikan was-was yang muncul.
Cuba bayangkan ia seumpama sesuatu imej, pangkahkan untuk menutup skrin imej itu seperti adik menutup skrin halaman sesawang. Hilang. Beritahu diri adik ia sesuatu yang tidak penting langsung untuk diberi perhatian atau disedari kemunculannya.
Wuduk dan solat yang ingin adik persembahkan yang terbaik kepada Allah adalah lebih penting.
Adik juga boleh melakukan terapi kepada diri sendiri. Contohnya bagi diri adik masa selama seminggu. Cuba berwuduk atau bersolat pada waktu lapang.
Apabila bisikan was-was itu muncul cuba kawal diri adik daripada mengulang-ulang mana-mana bahagian wuduk atau solat. Hari pertama mungkin daripada kebiasaannya adik berwuduk sampai 10 minit, adik pastikan dapat kurangkan sehingga sekurang-kurangnya seminit, jadi sembilan minit. Begitulah sampai hari ketujuh, mungkin sudah mencapai tahap normal tiga hingga lima minit. Begitu juga ketika berniat solat.
Terapi ini biasanya sangat berkesan dan akan menghentikan masalah yang adik hadapi sekarang secara beransur-ansur. Insya-Allah.
Ustaz dapati rasa was-was ini dicetuskan daripada rasa bersalah (guilt) adik. Seakan-akan minda adik dihantui ketakutan kemungkinan adik akan melakukan kesalahan dalam setiap perbuatan adik ketika berwuduk dan dalam solat.
Perasaan bersalah dan takut ini bagus tetapi perlulah diimbangi dengan rasa yakin diri dan mengharapkan rahmat Allah. Allah Maha Pengasihani, Islam datang bukan untuk menyusahkan sehingga adik rasa tertekan setiap kali hendak solat sedangkan ia tiang agama yang menjadi kewajipan utama seperti yang terdapat dalam al-Quran.
Al-Quran juga tidak diturunkan untuk membuat kita tertekan, firman Allah dalam surah Taha ayat 2: Kami tidak menurunkan al-Quran kepadamu (Wahai Muhammad) untuk menyusahkanmu.
Sedangkan Allah berfirman kepada orang-orang yang melampaui batas (melakukan maksiat) agar jangan berputus asa daripada rahmat Allah:
Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana Sesungguhnya Allah mengampunkan Segala dosa; Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (az-Zumar: 53)
Mesti Allah lagi Maha Mengasihani terhadap adik yang ingin mempersembahkan solat yang terbaik kepada-Nya. Jadi, adik tak perlu terlalu risau, tertekan terlalu obses tidak mahu buat silap ketika berwuduk atau solat.
Yakin dengan diri adik yang adik buat itu sudah betul sekadar yang adik termampu sebagai seorang manusia. Hanya Allah sahaja yang Maha Sempurna.
Tentang was-was yang menyerang akar-umbi akidah adik sehingga meragukan adik terhadap kewujudan Allah pula, perkara ini ada disebut dalam hadis: Dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersabda: Syaitan akan mendatangi seseorang daripada kamu lalu berkata: Siapa yang mencipta ini dan itu? Sehingga sampai satu peringkat ia menyoal: Siapa pula yang mencipta Allah? Apabila hal seumpama ini terjadi, maka mohonlah perlindungan dengan Allah (isti'aazah) dan hentikanlah (mindamu daripada menerawang berterusan mencari jawapan kepada soalan bisikan syaitan itu). (riwayat al-Bukhari)
Pedoman Hadis
Manakala hadis yang sama dalam riwayat Muslim terdapat tambahan: Katakanlah: Aku beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. (Aamantu billahi wa rasulihi).
Cubalah ikut pedoman hadis ini apabila adik menghadapi masalah itu lagi. Insya-Allah, berkat yakin beramal dengan hadis Nabi SAW, semua masalah was-was adik akan beransur-ansur hilang kelak.
Beritahulah kepada ibu bapa, keluarga dan kawan-kawan adik tentang masalah adik ini sambil meminta mereka memberi sokongan moral kepada adik sepanjang berjuang membebaskan diri adik daripada dijajahi was-was. Mereka mungkin boleh membantu adik contohnya memantau semasa adik berwuduk dan bersolat.
Pada masa yang sama banyakkan membaca al-Quran terutamanya surah al-Baqarah serta ayat al-Kursi jika adik mampu, banyakkan lagi bersabar dan teruskan berdoa memohon kepada Allah SWT agar masalah adik ini segera selesai. Amin.
Jika keadaan bertambah teruk, adik perlulah mendapatkan bantuan profesional seperti kaunselor atau ahli psikologi yang terlatih untuk mengatasi masalah ini kerana kadang-kadang ia ada kaitan dengan faktor genetik atau aktiviti-aktiviti tertentu otak atau masalah peribadi yang adik hadapi dalam kehidupan sehari-hari seperti perasaan terlalu merendah diri dan mengutuk diri - "saya bodoh, jahil dan sebagainya".
Biasanya ia berpunca daripada peristiwa tertentu pada masa lalu yang memberi kesan yang sangat mendalam dalam diri adik. Begitu juga sumber informasi yang salah seperti rasa takut (khawf) kepada Allah yang tidak disertakan dengan informasi ia perlu diimbangi dengan rasa harap (rajaa') kepada Allah.
Kesimpulannya, cubalah menambah ilmu pengetahuan dengan belajar atau melalui pembacaan terutamanya buku-buku agama.
2 comments:
saya ada nenek berpenyakit was-was , saya kadang-kadang malas nak tolong dia , kalau solat subuh ,kalau boleh saya nak solat seorang diri ,kerana bayangkan saya 2 jam lebih bersama nenek saya yang was-was untuk solat dan bacaan doanya 1 jam juga ... membuatkan saya letih dan jemu ...saya baru berusia 13 tahun .Nenek saya memang ada masalah was-was .Susah untuksaya menerangkan bagaimana keadaannya dan masalahnya
tapi saya masih mahu menolongnya .Saya ada rasa kesian tapi nenek saya selalu memaksa saya untuk mengajarnya walaupun saya dalm keadaan uzur .Agak susah juga ,perempuan yang tidak boleh melakukan ibadat ,harus membetulkan bacaan surah .Saya berasa berdosa jika saya membaca surah dalam keadaan uzur.Harap bantu saya ya.Assalmualaikum
Post a Comment